Tuesday, April 14, 2009

HUKUM ORANG KAFIR MEMBACA AL-QURAN

Baru-baru ini timbul isu berkenaan orang bukan Islam membaca atau membacakan ayat al-Quran dalam ceramah. Ada yang sampai membuat laporan polis. Ada yang berpendapat orang kafir mesti ditegah daripada membaca ayat al-Quran dalam ceramah mereka kerana ini menghina Islam. Ada yang mengatakan orang kafir haram membaca ayat al-Quran kerana makhrajnya salah. Mengeluarkan sesuatu pendapat haruslah bersumberkan dalil dan rujukan, bukan berdasarkan emosi dan perasaan.

Mereka mendakwa bahawa orang bukan Islam tersebut membaca ayat al-Quran dalam ceramahnya bertujuan untuk menghina Islam. Adakah orang yang mendakwa itu begitu hebat sehingga mampu membaca hati orang lain?. Kita tidak tahu apa niatnya. Kita tidak berupaya membaca hati orang lain sehingga mampu menyelami niatnya. Kita hanya boleh membuat penilaian berdasarkan apa yang nyata, hanya Allah yang mengetahui apa yang tersembunyi di hati. Saya sempat mendengar ceramah tersebut secara langsung. Ternyata pada zahirnya, tiada tanda atau gaya atau nada yang menunjukkan penceramah tersebut membaca ayat al-Quran bertujuan menghina Islam. Malah apa yang dapat saya katakan ini adalah suatu kemajuan yang positif dari sudut dakwah, kerana orang bukan Islam sudah mula berjinak-jinak dengan Islam dan sudah mula mesra dengan al-Quran. Selama ini mereka berprasangka buruk terhadap Islam dan al-Quran. Dahulu mereka fobia kepada Islam. Tetapi kebelakangan ini, mereka sudah membuka ruang hati mereka untuk mendekati Islam dan merujuk kepada al-Quran. Mengapa harus mereka dilarang, sepatutnya mereka diberi ruang.

Kalaulah makhraj dan sebutan salah yang dirunsingkan, maka apakah orang Islam sendiri semuanya membaca ayat al-Quran dengan makhraj yang betul dan mengikuti hukum tajwid yang tepat?. Adakah semua orang Islam fasih membaca al-Quran tanpa merangkak-rangkak?. Untuk mempertingkatkan mutu sebutan dan bacaan tentu memakan masa. Sekurang-kurangnya orang bukan Islam itu telah berusaha untuk membaca ayat tersebut setakat yang termampu. Setakat yang saya dengar, terjemahan ayat yang dibacakannya dalam ceramah itu adalah betul. Melalui terjemahan ayat, diharap moga-moga dia akan dapat memahaminya. Manalah tahu pada suatu hari nanti, dia akan terbuka hati untuk memeluk Islam. Setidak-tidaknya dia mempunyai pandangan yang positif terhadap Islam.

Berkaitan isu ini, saya berpendapat ulama-ulama silam dalam fatwa mereka lebih terbuka dan berpandangan jauh, berbanding sesetengah golongan yang mendakwa kononnya mereka bertamadun (hadari) tetapi sebenarnya jumud fikiran. Mereka sepatutnya menampilkan Islam kepada orang bukan Islam dengan gaya yang ramah, bukan dengan nada yang marah, mendekatkan mereka kepada Islam, bukan menjauhkan mereka daripada Islam.

Di sini saya petik beberapa pendapat ulama-ulama silam yang bermazhab Syafii berkenaan hukum orang kafir membaca al-Quran. Fatwa-fatwa mereka ini boleh dimanfaatkan untuk tujuan dakwah terhadap non-muslim pada masakini.

Syeikh Muhammad al-Khatib al-Syarbini menjelaskan ;

“adapun orang kafir, maka dia tidak ditegah daripada membaca al-Quran, kerana dia tidak beriktikad tentang haramnya perbuatan yang demikian, sebagaimana kata al-Mawardi” (Mughni al-Muhtaj, jilid 1, halaman 72)

Pengarang kitab I’anah al-Talibin telah memetik keterangan dari kitab Busyra al-Karim seperti berikut :

“maka tidak ditegah orang kafir daripada membaca al-Quran, jika dia tidak bersikap menentang dan diharap dia akan memeluk Islam” I’anah al-Talibin, jilid 1, halaman 85)

Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari berkata :

“dan hanyasanya ditegahkan kafir daripada menyentuh mashaf karena haram menyentuh dia itu terlebih muakkad dengan dalil haram menanggung dia serta hadas dan haram menyentuh ia dengan najis bersalahan dengan membaca Quran karena harus membaca dia serta hadas dan harus membaca dengan mulut yang kena najis” (Sabil al-Muhtadin, jilid 1, halaman 112)

Syeikh Daud al-Fatani berkata :

“dan keluar dengan kata muslim orang kafir maka jangan ditegahkan dia daripada membaca Quran karena tiada ia iktikad akan haramnya tetapi jika kita harap akan Islamnya” (Bughyah al-Tullab, jilid 1, halaman 49)

Sumbangan oleh;
Ustaz Azmi Ahmad