Thursday, November 08, 2007

Ramadan telah berlalu, semua orang Islam telah selesai mengerjakan ibadat yang ditentukan bagi bulan ramadan. Sekarang bulan Sawal, semua telah dan sedang merayakan hari raya hingga minggu-minggu yang akan nanti juga nampaknya masih ada rumah terbuka.

Ada yang mengerjakan puasa 6, sudah tentu ramai juga yang tidak kerana banyak open house.

Awal Ramathan masjid penuh sesak khususnya untuk sembahyang tarawikh, kerana mengingatkan janji Allah SNW apa yang akan diperolehi di akhirat kelak. Nampaknya tak ramai yang ada ketahanan diri, separuh jalan setengah masjid kosong sampai akhir puasa tinggal seperempat sahaja ruang masjid terisi.

Ramai yang tahu hari raya sepatutnya dua hari sahaja tetapi kita merayakannya satu bulan, dalam masa kita merayakan hari raya marilah kita renung apa yang di katakan oleh rakan saya katib di sebuah masjid.


MENGHAYATI KEWUJUDAN SEKSA KUBUR

Istilah “kubur” hanyalah berdasarkan kebiasaan setiap manusia yang meninggal dunia akan dikuburkan.

Adakah setiap manusia mesti ada kubur jika mereka meninggal dunia?

Sudah pasti tidak, kerana kadang-kadang terdapat menusia yang tidak diketahui dimana kuburnya, seperti orang yang mati dimakan binatang buas, mati terbakar hangus, mati hancur berkecai jasadnya kerana kemalangan, mati hilang dilaut kerana kapal terbang berkecai jatuh kedalamnya atau samada kapal atau feri karam dan sebagainya.

Namun menurut keyakinan ahli sunnah wal jamaah setiap manusia yang mati tetap akan berada di alam kubur atau di alam barzah iaitu alam di antara alam dunia dengan alam akhirat. Ini berdasarkan Firman Allah dalam surah al-Mukminun ayat 99-100:


حَتَّى إِذَا جَاء أَحَدَهُمُ الْمَوْتُ قَالَ رَبِّ ارْجِعُونِ لَعَلِّي أَعْمَلُ صَالِحًا فِيمَا تَرَكْتُ كَلَّا إِنَّهَا
كَلِمَةٌ هُوَ قَائِلُهَا وَمِن وَرَائِهِم بَرْزَخٌ إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ
َ

Maksudnya: “Kesudahan golongan yang kufur ingkar apabila sampai ajal maut kepada salah seorang diantara mereka berkatalah ia 'Wahai Tuhanku kembalikanlah daku (hidup semula di dunia). Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan'. Tidak! Masakan dapat ? Sesungguhnya perkataanya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzah (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).”

Menurut kamus Lisanul Arabi oleh Ibni Manzur, makna alam barzah ialah suatu tempat di antara dunia dan akhirat sebelum dihimpunkan di padang Mahsyar daripada waktu mati hinggalah dibangkitkan atau ia juga bermakna dinding pembatas antara dua benda sejak dari waktu kematian seseorang sehinggalah dia dibangkitkan. Jadi sesiapa yang mati bermakna dia telah memasuki alam barzah atau alam kubur.

Banyak perkara di dunia ini yang kita tidak dapat saksikan dengan mata kasar tetapi kita tetap meyakini kewujudannya. Contohnya bebarapa orang yang tidur nenyak di atas satu hamparan. Ada di antara mereka munkin bermimpi indah dan ketika ia bangun, jasadnya merasa nikmat yang dirasakan oleh rohnya ketika bermimpi. Demikian sebaliknya, orang yang bermimpi buruk dan mengerikan, bukan sahaja rohnya terseksa tetapi badannya juga rasa terseksa. Sedangkan mereka yang tidur berhampiran pula tidak mengetahui apa yang dirasakan oleh rakanya. Jika perkara seperti ini pun diakui hakikat kewujudannya maka demikianlah dengan alam barzah, malahan alam barzah lebih hebat dari itu.

Sesungguhnya nikmat dan azab kubur adalah sesuatu yang wajib kita imani dan yakini kewujudannya walaupun ia tidak dapat dibuktikan secara nyata tetapi ia termasuk dalam perkara “sam'iyyat” yang wajib kita yakini. Kerana Rasulullah SAW memerintahkan agar kita berlindung dari azab kubur sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh imam Muslim yang menyuruh para sahabat agar mengamalkan doa berikut:


اللهم اني اعوذبك من عذاب في النار وعذاب في القبر

Maksudnya: “Wahai tuhanku ! Sesungguhnya aku mohon berlindung dari azab api neraka dan aku mohon berlindung dari azab kubur”

Kita wajib berlindung diri dari azab kubur, kerana alam kubur merupakan persinggahan sementara untuk kehidupan selanjutnya. Jika di alam kubur kita mendapat kenikmatan, itulah tanda bahawa kita akan mendapat kemudahan dan kebahagiaan di alam akhirat nanti. Sebaliknya, apabila mendapat azab kubur, itulah petanda bahawa orang tersebut akan mendapat kesulitan diakhirat nanti. Sabda Rasulullah SAW; Maksudnya “ Sesungguhnya kubur itu, adalah singgahan pertama ke akhirat, sekiranya yang singgah itu terselamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih mudah lagi. Dan jika tidak selamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih sukar lagi.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Pernahkah kita terfikir bagaimana bentuk azab atau nikmat kubur ? Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya : “apabila salah seorang diantara kamu mati, akan ditujukkan kepada-Nya setiap pagi dan petang tempat tinggalnya. Bila ia penghuni syurga, akan ditunjukkan kepada-Nya kenikmatan syurga, dan bila ia penghuni neraka, akan ditunjukkan kepada-Nya keazaban neraka. Lalu dikatakan kepada mereka ; “itulah tempat tinggalmu, sampailah Allah membangkitkanmu pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis tersebut nyatalah bahawa azab dan nikmat kubur pasti akan terjadi.Bagi mereka yang mempunyai keimanan yang mantap, ilmu Allah yang tiada tandingnya pasti akan yakin dengan adanya siksa dan nikmat kubur. Hanya orang yang jahil dan sesat serta suka mendustakan Rasulullah SAW akan meragui dan mengingkari adanya azab kubur.

Sebenarnya di dalam Al-Quran terdapat lebih kurang 300 ayat yang menyatakan tentang kematian dan keadaan-keadaan kehidupan selepas daripada mati seperti di alam barzah dan di akhirat. Nas-nas Al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW menerangkan bahawa roh itu kekal, ada roh yang mendapat nikmat kerana amalannya di dunia dahulu baik dan ada roh yang terseksa lantaran amalannya di dunia dahulu jahat.

Atas sebab itulah, gambaran tentang azab seksa dan nikmat kubur wajib kita imani dan yakini. Apa lagi hadis-hadis yang menerangkan tentang azab seksa dan nikmat kubur sebagaimana yang dinyatakan adalah hadis sahih dan kuat darjatnya.

Apabila kita mengingatkan tentang kewujudan azab yang ditanggung selepas mati oleh orang-orang yang derhaka kepada Allah, maka kita terasa gementar kerana takut akan azab Allah yang menggerunkan dan insyaAllah akan mendekatkan diri kita kepadaNya.


Justeru, kita boleh kasihkan harta tapi tidak lupakan soal hisab,
kita boleh kasihkan rumah tapi tidak lupakan soal kubur,
kita boleh kasihkan hidup tapi tidak lupakan soal maut,
kita boleh kasihkan dunia tapi tidak lupakan soal akhirat.

UNTUK itu, tidak ada jalan pintas melainkan kita wajib mematuhi segala yang diperintahkan Allah sebagaimana yang termaktub di dalam Al-Quran. Patuh segala perintah Allah adalah syarat untuk mendekatkan diri kepada Allah dn menjadi kekasihNya.

Dengan mengingatkan azab kubur juga insyaAllah kita akan menjadi semakin takut untuk meninggalkan solat, meninggalkan puasa, tidak mengeluarkan zakat, berdusta, berjanji bohong, memerintah secara kejam, tidak adil, melanggar batas-batas hukum syariat dan sebagainya. Dengan yang demikian akan memberi rangsangan kepada kita kearah melakukan kebajikan yang sangat dituntut oleh Islam.

الَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا إِنَّنَا آمَنَّا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab API NERAKA”. (Surah Ali-Imran ayat: 16)

Marilah kita semua menjuruskan ingatan dan kesedaran untuk kita sama-sama menghayati dan menyedari hanya Allah yang maha Besar dan yang Maha Pemurah. Dibentang-Nya alam ini untuk kita, dicurahkan rahmat-Nya siang dan malam, sejak kita dilahirkan sampailah hari kematian kita. Bahkan rahmat Allah yang lebih besar dan lebih banyak lagi adalah sesudah kita MATI, jika kita termasuk dikalangan orang yang beriman dan bertakwa serta banyak mengerjakan amal soleh selama hidup kita di dunia ini.

Tanpa iman dan takwa, segala rahmat Allah akan terputus bila keluarnya nyawa dari tubuh kita. Orang yang beriman hendaklah meyakini bahawa ada kehidupan yang abadi dan lebih sempurna selepas kehidupan di dunia ini. Kehidupan inilah menjadi fokus utama orang-orang yang beriman.

Kerana itulah, persoalan akidah merupakan perkara yang paling asas dalam Islam. Islam diibaratkan sebagai bangunan, manakala akidah pula diibaratkan sebagai asas atau tapak kepada binaan tersebut. Jika rosak akidah seseorang maka rosaklah semua amalan yang dibina diatasnya. Atas dasar inilah Rasulullah SAW memulakan dakwahnya dengan persoalan akidah sebelum mengajar tentang hukum syariat Islam.

Walaupun Islam menganjurkan penggunaan akal fikiran namun dalam pembahasan akidah peranan akal wajib dibatasi. Apalagi persoalan akidah banyak berkait dengan perkara ghaib yang tidak mampu dicapai oleh akal manusia yang sangat terbatas.

Kepada orang melayu Islam ingatlah semua yang hidup akan mati, berpesan-pesanlah kita bahawa azab kubur itu benar, janji Allah itu benar, shurga dan neraka itu benar, maka berpada-padalah amalan kita semasa hidup ini, orang lain yang tidak berjawatan dan berkuasa ini bukannya bodoh... mereka semua tahu, dengan sebab itu ada antara mereka yang menegor mereka yang membohongi mereka.

insaflah wallahhua'alam.





0 Comments:

Post a Comment

<< Home